KUALA LUMPUR- Majlis Belia Malaysia (MBM) meminta semua rakyat bertenang sambil menggesa para pemimpin politik segera menyelesaikan krisis pentadbiran.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, presidennya, Jufitri Joha berkata, MBM yakin Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akan memainkan peranan penting, bijak dan saksama untuk menstabilkan keadaan.
“MBM menegaskan aspirasi belia dan rakyat terbawah agar pimpinan negara memfokuskan kepada soal kestabilan politik dan ekonomi kerana mereka sedang bertarung dengan kesempitan dan kesukaran ekonomi.
“MBM juga ingin menyatakan kebimbangan keadaan politik semasa bakal terus menjauhkan generasi muda dengan politik dan demokrasi berdasarkan skor semasa Domain Sosialisasi Politik dalam Indeks Belia Malaysia (IBM) yang menunjukkan penurunan sekaligus akan memberi kesan kepada polisi undi 18.
“Dikhuatiri mereka meluat dan penat dengan politik semasa,” tegasnya.
Dalam pada itu, menurut Jufitri, MBM akan memantau keadaan semasa dengan teliti dan hanya akan mengeluarkan kenyataan berkaitan selepas mendapat rundingan daripada Ahli Dewan Tertinggi dan badan gabungannya.- MalaysiaGazette