Adik kepada Allahyarham Abam Bocey, Syed Ali Mubarak dilihat sugul sewaktu bercakap pada sidang media khas mengenai penjelasan tindakan balu Allahyarham Abam, Nurhidayah Mohd Ali sewaktu ditemubual oleh Datuk Aliff Syukri di The Port, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Adik Abam Bocey, Ali Puteh menerima satu lagi ujian apabila akaun Instagram miliknya didakwa digodam pihak tidak bertanggungjawab.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Ridzuan, 31, menerusi akaun Instagram baharu menggunakan nama @aliputehocial memberitahu telah kehilangan lebih 400,000 pengikut.

Pelawak itu sebelum ini berdepan isu pertelingkahannya dengan usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri serta salah faham dengan kakak iparnya yang juga balu kepada Abam.

“Allah uji lagi, Instagram pula dicuri. Ini akaun saya yang original.

“Yang lama sudah kena godam, selain daripada akaun ini, itu semua bidaah!”, tulis Ali.

Akaun @aliputeh89 itu sudah tidak wujud sejak malam tadi.

Jumaat lalu, Ali, 31, mengadakan sidang media khas menuntut Aliff Syukri membuat permohonan maaf kepada ibunya, Sabariah Arshad kerana dituduh menjadi punca perpecahan silaturrahim antara ahli keluarga mereka.

Kunjungan Aliff Syukri ke kediaman Hidayah didakwa punca perpecahan silaturrahim antara ahli keluarga Ali.

Ali dalam pada itu menjelaskan dia berkecil hati dengan isteri Abam iaitu Nor Hidayah Mohd Ali kerana mengeluarkan kata-kata yang menyentuh isu pembahagian harta Allahyarham suaminya.

Semalam, jutawan kosmetik itu memohon maaf kepada Ali dan ahli keluarga yang lain. – MalaysiaGazette