Residensi Wilayah Sky Awani 1.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Kementerian Wilayah Persekutuan tidak pernah melantik mana-mana pihak atau individu sebagai ejen untuk permohonan Residensi Wilayah (RUMAWIP) sejak dasar tersebut diperkenalkan pada 8 April 2013.

Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Rosida Jaafar berkata, sindiket penipuan itu menawarkan rumah mampu milik dengan harga yang rendah.

Sindiket tersebut juga menggunakan logo kementerian dan logo RUMAWIP sehingga mengelirukan pembeli malah turut mengeluarkan surat permohonan palsu dengan menggunakan kepala surat kementerian dan tandatangan pegawai yang palsu.

“Kementerian ingin menegaskan bahawa sebarang permohonan RUMAWIP yang kini dikenali sebagai Residensi Wilayah hanya boleh dimohon melalui portal rasmi Residensi Wilayah iaitu di alamat URL: https://residensiwilayah.kwp.gov.my/ yang boleh diakses melalui laman web rasmi kementerian iaitu http://www.kwp.gov.my/.

“Setelah dijenamakan semula kepada Residensi Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan tidak lagi menggunapakai jenama RUMAWIP dalam segala urusan yang berkaitan Rumah Mampu Milik di Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Mana-mana individu yang berminat untuk membeli Residensi Wilayah (RUMAWIP) perlu membuat permohonan melalui portal rasmi Residensi Wilayah.

“Setelah permohonan dihantar pemohon akan menerima notifikasi melalui emel di alamat emel yang telah didaftarkan oleh pemohon.

“Segala urusan permohonan termasuk urusan surat menyurat adalah melalui janaan sistem dan atas talian. Notifikasi tawaran juga akan dihantar melalui emel yang didaftarkan oleh pemohon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1989 bagi melindungi kepentingan pembeli dan pematuhan peraturan di bawah Akta 118, tiada sebarang bentuk kutipan wang boleh dilakukan oleh pemaju daripada pemohon termasuklah kutipan yuran komitmen sebelum menandatangani perjanjian jual beli.

Sebarang aduan berkaitan kutipan bayaran juga boleh dikemukakan terus kepada Sistem Aduan Bersepadu Jabatan Perumahan Negara di laman url: https://aduan.kpkt.gov.my/aduan-online/entry/aduanperumahan.cfm.

Orang ramai diseru untuk berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan iklan- iklan palsu yang memaparkan tawaran yang lebih menarik tanpa merujuk kepada agensi yang betul. Sekiranya terdapat maklumat yang meragukan berhubung sesuatu iklan projek pembangunan Residensi Wilayah, orang ramai boleh menghubungi Unit Pembangunan Residensi Wilayah, Bahagian Sosio Ekonomi bawah Kementerian ini di talian 03 – 8000 8000 atau emel [email protected] MalaysiaGazette