Foto Facebook FA Kedah

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menerima sebanyak 300 tiket tambahan bagi perlawanan Piala Sumbangsih 2020 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat ini.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Eksekutif KFA, Shahrul Shamsudin, dimana jumlah tiket keseluruhan yang diperoleh oleh juara Piala FA 2019 itu adalah sebanyak 800 keping tiket.

“Saya dimaklumkan Kedah menerima tambahan 300 tiket lagi bagi penyokong kami menyaksikan perlawanan terbabit.

“Terima kasih kepada pengurusan JDT yang mempertimbangkan rayuan untuk memohon lebih banyak tiket bagi penyokong Kedah,” katanya menurut laporan Harian Metro.

KFA sebelum ini meminta tambahan tiket sebanyak 500 keping sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,000 tiket kerana permintaan tinggi daripada peminat setia pasukan.

Namun, mengikut kategori yang telah ditetapkan, stadium yang bawah kapasiti penonton 20,000, tuan rumah boleh memberi tiket kepada pasukan pelawat hanya 300 tiket sahaja.

Selain itu, stadium yang berkapasiti 20,000 hingga 40,000, tuan rumah dibenarkan sediakan tiket kepada pasukan pelawat maksima 500 tiket dan kapasiti stadium baharu JDT adalah 35,000, jadi KFA mungkin tidak dapat mendapat 1,000 tiket seperti yang diminta sebelumnya. – MalaysiaGazette