KUALA LUMPUR – Dunia perlu membuat persediaan untuk menghadapi penularan koronavirus, amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO berkata, ia masih terlalu awal untuk menyatakan penularan wabak itu meluas (pandemik) tetapi semua negara perlu berada dalam fasa bersedia.

Pandemik adalah apabila jangkitan merebak secara mudah daripada individu kepada individu lain di seluruh dunia.

Kebanyakan virus yang disebabkan jangkitan pernafasan Covid-19, merebak di Korea Selatan, Itali dan Iran telah mencetuskan kebimbangan.

China yang menjadi sumber wabak itu telah merekodkan sejumlah 77,000 kes dan hampir 2,600 meninggal dunia.

Namun, jumlah kes baru menurun.

Lebih daripada 1,200 kes koronavirus telah disahkan di 30 buah negara dengan 20 kematian.

Itali melaporkan empat kematian semalam, menjadikan jumlahnya naik kepada tujuh.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memaklumkan jumlah kes jangkitan di Iran, Italia dan Korea Selatan adalah “sangat membimbangkan”.

Bagaimanapun, beliau menambah: “Buat masa ini kita tidak menyaksikan penyebaran virus yang tidak terkawal ini dan kita melihat penularan atau kematian secara besar-besaran.

“Adakah virus ini mempunyai potensi pandemik? Sememangnya, ia ada. Tetapi pada penilaian kami ia belum ke tahap itu,” ujarnya.

“Mesej utama yang harus diberikan kepada semua negara adalah harapan, keberanian dan keyakinan bahawa virus ini boleh ditangani, sememangnya terdapat banyak negara yang telah melakukannya dengan tepat,” kata Tedros.

Ujarnya, Menggunakan perkataan ‘pandemik’ kini tidak sesuai dan mungkin menyebabkan ketakutan. – MalaysiaGazette