Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan di New Delhi, India. foto Agensi

NEW DELHI – Lebih 12 orang maut dan beratus-ratus orang cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan di sini.

Ia merupakan protes paling buruk di New Delhi sejak pertikaian ke atas undang-undnag kewarganegaraan pada Disember tahun lalu, bermula pada hujung minggu.

Keganasan itu meletus sekali lagi di beberapa kawasan di timur laut Delhi, beberapa batu dari kawasan pertemuan antara Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri, Narendra Modi.

Saluran televisyen tempatan menunjukkan asap berkepul-kepul daripada tayar-tayar dibakar.

Wartawan Reuters pula menyaksikan penunjuk perasaan memegang kayu dan batu berjalan di sepanjang jalan di beberapa bahagian di timur laut Delhi.

Menteri Dalam Negeri India, G. Kishan Reddy berkata, keganasan yang berlaku itu adalah “konspirasi untuk memfitnah India”, ketika lawatan Trump.

Sebahagian daripada peserta protes memperjuangkan undang-undang kewarganegaraan itu.

“Kami tiada senjata tetapi mereka menyerang kami,” kata Mohammad Shahir, seorang peserta protes yang menentang undang-undang kewarganegaraan itu.

Katanya, parti BJP mahu menjadikan India sebuah negara Hindu.

Bagaimanapun, penyokong BJP menafikan dakwaan tersebut, meskipun India memiliki seramai 180 juta penduduk Islam yang merupakan minoriti.

Seramai 3,500 anggota polis dan tentera dikerah untuk mengawal keadaan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Amit Shah menggesa semua parti politik berhenti memberi ucapan provokatif yang boleh mengapi-apikan penunjuk perasaan.

Sekolah-sekolah dan stesen metro juga ditutup susulan tunjuk perasaan itu.

Masjid-masjid juga digunakan untuk memujuk penunjuk perasaan supaya tidak bertindak ganas dan merempuh halangan polis.

“Kita tidak mempunyai masalah dengan polis, kami hanya menentang undang-undang kerajaan,” menurut pengumuman itu. – MalaysiaGazette