KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa semua pihak tidak mengira parti dan individu agar menghormati proses yang sedang berlangsung di Istana Negara, hari ini.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, proses tersebut berlangsung mengikut kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Kita kena menghormati proses yang sedang berjalan. Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjamin kestabilan dan kesejahteraan negara.

“Dan proses ini sedang berjalan dan kita sebagai Ahli-ahli Parlimen harus menghormati proses yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan,” katanya¬† dengan nada tenang kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Hotel Sofitel.

Azmin bersama Zuraida Kamaruddin dan sembilan lagi ahli Parlimen PKR yang bertindak keluar daripada parti hari ini akan ke Istana Negara bagi menemui Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah, hari ini.

Beliau memandu sendiri kenderaan Toyota Alphard berwarna hitam bersama bekas Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Turut bersama Azmin adalah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar; Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju; Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin. – MalaysiaGazette