Reaksi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya yang merupakan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berjalan keluar dari kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Dokumen akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani ahli-ahli parlimen sebelum ini tidak lagi relevan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi ruang kepada semua pihak tanpa mengambil kira apa-apa kenyataan di luar istana.

“Tuanku beri ruang kepada semua dan dengan cara ini SD tidak lagi relevan. Tuanku lihat ini satu proses sahkan pilihan kita tanpa kenyataan di luar dan makna telah berbeza.

“Ia merupakan kuasa mutlak Tuanku,” katanya ketika ditemui pihak media di luar kediamannya di sini hari ini.

Sebelum itu beliau datang menemui wakil media sambil berpegangan tangan dengan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya keyakinannya untuk mendapat majoriti, Anwar yakin sentiasa memiliki ‘semangat’ itu namun perlu bersabar.

Mengenai bilangan ahli parlimen yang mencukupi diperoleh, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau tidak gemar bermain dengan nombor.

“Sabar adalah kata kunci. Tunggu kenyataan akan dikeluarkan pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pukul 4.30 petang ini,” katanya. – MalaysiaGazette