Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media Pakej Ransangan Ekonomi 2020 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 27 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Untuk merangsang permintaan domestik, kerajaan membenarkan kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan sebanyak empat peratus iaitu daripada 11 peratus kepada 7 peratus.

Ini bermakna, RM10 bilion akan kekal di tangan pencarum berkuatkuasa sehingga akhir tahun ini, kata Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurutnya, bayaran ansuran Bantuan Sara Hidup diawalkan ada bulan Mei sebanyak RM200 kepada bulan Mac 2020.

“Kerajaan juga akan membayar kepada setiap penerima BSH tambahan RM100 dikreditkan ke dalam akaun bank pada bulan Mei dan seterusnya tambahan RM50 akan disalurkan secara e-tunai,” katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di sini hari ini.

Untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kos sara hidup, kerajaan akan mengambil beberapa inisiatif tertentu.

Inisiatif-inisiatif itu ialah menyediakan Tabung AgroFood sebanyak RM1 bilion oleh BNM pada kadar 3.75% bertujuan bagi menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM10 juta kepada FAMA untuk menyediakan kemudahan simpanan makanan supaya harga dapat dikurangkan.

Manakala geran sebanyak RM1,000 kepada 10,000 usahawan tempatan yang menjual produk dan barangan mereka di dalam platform e-dagang.

Peruntukan tambahan RM20 juta kepada Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) untuk program Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS) bagi menaik taraf Pusat Internet Desa kepada hab e-dagang. – MalaysiaGazette