Asyraf Wajdi Dasuki

KUALA LUMPUR – Siapa sahaja yang dipilih sebagai Perdana Menteri, kerajaan yang bakal dibentuk amat rapuh dan terdedah kepada pelbagai polemik dan krisis.

Ini pastinya menjadikan negara tidak stabil dan berhadapan krisis kepercayaan dan keyakinan yang amat kronik terutamanya buat pelabur dalam dan luar negara.

Ia berlaku kerana Parlimen sudah terbahagi kepada 3 kelompok iaitu:

1. Kelompok menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) yang didokong 60 Ahli Parlimen Bukan Melayu-Islam dan hanya 33 Ahli Parlimen Melayu-Islam.

2. Kelompok menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM yang didokong hanya 65 Ahli Parlimen.

3. Kelompok yang mahu menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk ditentukan siapa PM dan kerajaan baharu yang didokong 61 Ahli Parlimen.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, hakikatnya ketiga-tiga senario di atas hanya menyerlahkan lagi keadaan ketidak-stabilan politik yang pastinya akan mengeruhkan lagi situasi ekonomi, pelaburan, politik dan pentadbiran negara.

Apatah lagi, ketika PH memerintah pun lebih RM250 billion dana pelaburan asing keluar daripada negara lantaran krisis keyakinan terhadap kerapuhan Kerajaan PH, ditambah RM43 bilion lagi ketika krisis politik keruntuhan PH memuncak.

Oleh yang demikian, lebih baik mandat diserahkan kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil melalui Pilihan Raya Umum.

Undi yang dibuat oleh Asyraf menunjukkan majoriti 89 peratus daripada 67,500 yang mengundi memilih untuk bersetuju membubarkan Parlimen. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.