Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyediakan sebanyak RM100 juta geran-padanan kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) untuk membiayai tambahan 40,000 pekerja daripada sektor pelancongan dan sektor lain yang terkesan.

Kerajaan seterusnya akan memperuntukkan RM50 juta untuk subsidi pembiayaan kursus jangka pendek dalam bidang digital dan berkemahiran tinggi.

Insentif ini dijangka memberimanfaat kepada 100,000 rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.

Menurut beliau, insentif yang disumbang kerajaan itu bertujuan menggalakkan majikan supaya menambah pelaburan dalam meningkatkan produktiviti modal insan pada ketika aktiviti ekonomi perlahan.

Pekerja yang terjejas boleh bergantung kepada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dananya kini berjumlah RM1.1 billion.

Selain itu, SIP akan ditambah baik melalui kos latihan yang boleh dituntut ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000.

Tambahnya, sebagai tambahan, elaun latihan harian sebanyak RM30 sehari juga disediakan kepada pelatih. – MalaysiaGazette