KUALA LUMPUR – Kerajaan mengenakan sekatan masuk sementara terhadap semua pelawat dari Korea Selatan, termasuk warganegara asing yang pernah berada di bandar Daegu dan daerah Cheongdo dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan ke negara ini.

Ini meliputi pelawat yang transit melalui Malaysia.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), warga Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas (pas lawatan sosial jangka panjang dan pas pelajar) yang pernah berada di bandar Daegu dan daerah Cheongdo dalam tempoh 14 hari sebelum tiba di Malaysia perlu menjalani saringan kesihatan yang dilakukan kementerian itu.

“Bagi meningkatkan kawalan di Pintu-pintu Masuk Antarabangsa Negara, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan turut menyediakan kaunter khas untuk pelawat dari Republik Korea, Jepun, Itali dan Iran,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kementerian tersebut akan terus memantau secara rapi perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 di Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran dan negara-negara lain yang turut melaporkan kes.

Berikutan itu, katanya, rakyat Malaysia dinasihatkan agar menangguhkan perjalanan ke wilayah-wilayah atau bandar-bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak COVID-19 di China, Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran.

Sementara itu, terdapat dua kes baharu dilaporkan pada hari ini.

Menurut KKM, kes ke-24 merupakan wanita warga Jepun berusia 41 tahun yang bekerja di Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun pada Januari lalu dan juga ke Indonesia pada awal bulan ini.

Katanya, pesakit tersebut mempunyai gejala demam dan telah mendapat rawatan pada 17 Februari 2020 dan beliau telah dimasukkan ke hospital swasta pada 20 Februari 2020.

“Ujian pengesanan COVID-19 diambil bagi kes ini dan disahkan positif pada 27 Februari 2020. Kini beliau sedang dirawat di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur.

Tambah kenyataan itu, kes ke-25 merupakan seorang lelaki warga Itali berusia 54 tahun yang berkahwin dengan warga Malaysia dan telah menetap di negara ini.

Ujarnya, beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Itali atas urusan kerja pada 15 hingga 21 Februari lalu dan mula mengalami gejala demam, batuk, sakit sendi dan sakit badan pada 22 Februari lepas.

Jelas KKM, beliau mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar bagi gejala yang dialaminya selama tiga hari berturut-turut, iaitu pada 23 sehingga 25 Februari lalu.

Katanya, ujian saringan pengesanan COVID-19 telah dijalankan ke atasnya dan disahkan positif pada 28 Februari lalu dan pesakit itu telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya. – MalaysiaGazette