Stuart Ramalingam

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa pasukan PDRM FA secara rasminya terlepas daripada hukuman pemotongan enam mata tambahan dalam Liga Super 2020.

Ia berikutan tindakan drastik pasukan itu yang akhirnya berjaya mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu pada hari ini, 28 Februari 2020.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, PDRM FA sebelum ini telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata untuk Liga Super 2020 pada 3 Februari lalu selepas mereka gagal menyelesaikan soal tunggakan gaji pemain dan jurulatih mengikut tarikh akhir pertama yang ditetapkan iaitu pada 31 Januari lalu

“Susulan itu, PDRM telah diberi tempoh tambahan selama empat minggu untuk menyelesaikannya sehingga 28 Februari 2020 dan jika masih gagal, PDRM diberi amaran akan dikenakan hukuman seterusnya iaitu pemotongan enam lagi mata.

“Namun FAM menghargai usaha yang telah dilakukan oleh PDRM untuk menyelesaikan juga perkara ini dan akhirnya, tunggakan gaji membabitkan 20 pemain dan tiga pegawai pasukan mereka ini berjaya diselesaikan, sama ada menerusi pembayaran penuh atau pembayaran secara ansuran seperti yang telah dipersetujui,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, secara terperincinya, PDRM telah berjaya menyelesaikan bayaran berjumlah RM623,525.88 iaitu penyelesaian penuh membabitkan dua pemain tempatan, pembayaran 50 peratus kepada 14 pemain, yang mana bakinya akan dibayar secara ansuran seperti yang dipersetujui serta empat pemain import iaitu dua pemain sudah dibayar penuh dan dua pemain dibayar secara ansuran.

Sementara itu, katanya, tiga pegawai pasukan pula kes mereka telah dibawa ke Jawatankuasa Status FAM dan akan didengar kesnya pada Selasa ini 3 Mac 2020.

“FAM berharap PDRM dapat menyelesaikan baki tunggakan yang akan dibayar secara ansuran itu iaitu berjumlah RM611,029.88 mengikut jadual pembayaran yang telah dipersetujui kedua-dua pihak, pasukan dan pemain.

“Ini kerana, FAM akan terus melakukan pemantauan ke atas PDRM FA bagi memastikan pasukan-pasukan terbabit mengikuti pelan penyelesaian baki tunggakan gaji seperti yang telah dipersetujui bersama pemain dan pegawai,” tegas beliau lagi.-MalaysiaGazette