KUALA LUMPUR – Permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak  bagi menangguhkan prosiding saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion ditolak mahkamah petang tadi.

Hakim Mahkamah Tinggi,  Datuk Ahmad Bache ketika membacakan keputusan beliau memutuskan, permohonan bekas Perdana Menteri itu sebenarnya tidak mempunyai ‘alasan kukuh’ untuk dipertimbangkan.

Sebaliknya kata beliau, undang-undang berkait dengan cukai pendapatan di negara jelas termaktub ‘bayar dahulu kemudian bincang’.

“Saya ingin tegaskan di sini, secara umum undang-undang percukaian negara sudah jelas menyatakan seseorang yang mempunyai ketidakpuasan perlulah membayar jumlah cukai itu sebelum boleh berbincang tentangnya.

“Ianya bak kata ‘bayar dulu kemudian bincang’. Ianya termaktub bagi semua orang yang membayar cukai.

“Seandainya saya memberikan penangguhan kepada bayaran cukai ini, maka kita akan berdepan pula dengan satu implikasi besar dalam proses kutipan balik cukai pada masa hadapan.

“Ini sekaligus akan memberikan satu contoh buruk yang membolehkan pembayar cukai di negara ini untuk menggunakan alasan keputusan ini bagi mengelakkan membayar cukai pendapat kelak.

“Tertuduh juga telah gagal membuktikan keadaan yang membolehkan beliau seolah-olah tidak mampu untuk membayar cukai pendapatan berkenaan seperti yang telah dikemukakan oleh LHDN,” katanya sebentar tadi.

Ahmad Bache kemudian menyambung dengan berkata alasan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu berkemungkinan kehilangan kerusi Parlimen beliau kerana prosiding bankrap itu juga tidak boleh dijadikan sebagai satu keadaan yang memerlukan penangguhan.

Dalam pada itu, Ahmad Bache juga memutuskan yang LHDN mempunyai kemampuan monetari untuk memberi pampasan kepada Najib sekiranya bekas perdana menteri itu berjaya dalam rayuannya di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.

Hakim juga telah memerintahkan Najib untuk membayar RM15,000 kepada kerajaan sebagai kos.

Pada 8 Ogos tahun lepas, Najib memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding saman oleh LHDN yang menuntut beliau membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion, sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN.

Bagaimanapun LHDN dalam afidavit sokongannya berkata, Najib masih perlu membayar jumlah RM1.69 bilion itu walaupun beliau telah memfailkan rayuan terhadap taksiran cukai itu.

Pada 25 Jun tahun lepas, kerajaan menerusi LHDN menyaman Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar dengan kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman serta kos dan rellef lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. -MalaysiaGazette

Saman LHDN RM1.6 bilion cubaan ‘bunuh’ karier politik Najib

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast