KUALA LUMPUR- Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menjangkakan trafik penumpang akan pulih semula dalam jangka masa sederhana atau panjang.

Ini kerana, buat masa sekarang penularan wabak Covid-19 itu memberi impak negatif terhadap pertumbuhan trafik penumpang.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, syarikat pengendali lapangan terbang itu berkata, sekiranya keyakinan penumpang udara kembali pulih dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 mampu menampung kehilangan pendapatan yang dicatatkan semasa wabak Covid-19 hangat diperkatakan.

Jelasnya, pada kebiasaan, kempen tersebut mampu menarik penumpang antarabangsa sebanyak dua kali ganda.

MAHB merekodkan peningkatan perolehan sebanyak 7.4 peratus kepada RM5.213 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 disumbang terutamanya oleh prestasi operasi yang baik di Malaysia dan Turki.

Tanpa mengira kesan daripada keuntungan bukan teras bagi tahun kewangan dalam kajian, EBITDA meningkat 9.3 peratus kepada RM2.29 bilion manakala perolehan bersih menokok 21.9 peratus kepada RM537 juta bagi tempoh yang sama.

Trafik bagi operasi tempatan berkembang sebanyak 6.1 peratus kepada 105.2 juta penumpang pada tahun kewangan 2019 dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merekodkan pertumbuhan 3.9 peratus trafik penumpang kepada 62.3 juta orang.

Manakala lapangan-lapangan terbang lain di Malaysia mencatatkan pertumbuhan agregat 9.5 peratus kepada 42.8 juta penumpang.

Dengan menggabungkan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, rangkaian lapangan terbang yang dikendalikan MAHB menerima 140.6 juta penumpang pada tahun kewangan 2019.

Ini mewakili pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus.-MalaysiaGazette