KUALA UMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merafak setinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memperkenankan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.
Kata beliau, Pas juga mengucapkan setinggi tahniah kepada Muhyiddin di atas pelantikan itu dan mendoakan agar sentiasa dikurniakan taufik dan hidayah-Nya bagi melaksanakan tanggungjawab yang amat berat ini.
“Kita menyeru semua rakyat Malaysia untuk menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah ini, seterusnya memperkukuhkan muafakat dan perpaduan kaum yang menjadi tonggak kepada kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Yang di-Pertuan Agong petang ini berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.
Dalam satu kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri akan diadakan esok. – MalaysiaGazette