Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Tindak-tanduk segelintir pemimpin negara yang meletakkan agenda dan cita-cita politik sebagai keutamaan masing-masing menyebabkan kemelut yang berlaku sejak beberapa hari lalu masih gagal ditangani.

Sebagai pemimpin, mereka sepatutnya memiliki sifat seorang negarawan dengan meletakkan kepentingan negara pada tahap tertinggi.

Pemerhati politik, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, kemelut ini berlaku disebabkan tingkah-laku pemimpin yang ego dan meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya.

Disebabkan itu, menurut beliau, kemelut ini terus berlarutan walaupun ia tidak baik untuk negara dan mengheret rakyat dalam kegelisahan.

“Apabila agenda dan cita-cita politik diutamakan berbanding kepentingan negara dan rakyat inilah yang berlaku.

“Lebih menyedihkan apabila keadaan genting pun, kepentingan rakyat tidak dipedulikan,” kata Kok Seong ketika diminta mengulas mengenai situasi politik semasa.

Kok Seong mengakui beliau bimbang dengan situasi semasa kerana ia mencalar imej Malaysia di mata dunia, yang pernah selama ini sering disebut-sebut di peringkat dunia.

Mengulas keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil pemimpin-pemimpin parti politik dalam menentukan pemilihan calon Perdana Menteri, beliau percaya, Istana Negara mahu melakukan pendekatan terbaik dalam memulihkan suasana getir sekarang.

Namun, beliau meramalkan, jika tindakan itu masih belum memuaskan hati baginda, kemungkinan besar pilihan raya umum akan diadakan.

“Melihat situasi hari ini, pada pandangan peribadi saya, pilihan raya adalah terbaik. Kembalikan sahaja mandat kepada rakyat. Biarkan kita yang menentukan masa depan dan hala tuju negara ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Haduiiii..
    Kalau atuk masih nak lagi jaeatan PM, nape tu ari letak jawatan. Pas tu letak jawatan dalam bersatu. Tu la atuk.. Suka game orang.. Sesekali orang game atuk pulak.. Kena terima lah kenyataan hame atuk tak menjadi.. HAHAHA…

Comments are closed.