SHAH ALAM – Seramai 30 pendakwah mualaf termasuk empat urusetia Yayasan Mualaf Malaysia (YMM) dapat menunaikan impian mengerjakan ibadah umrah menerusi pakej khas tajaan Yayasan Abadi dengan kerjasama Grand BlueWave Hotel Shah Alam.
Selain tajaan pakej umrah, mereka turut menerima sumbangan sagu hati wang tunai yang akan digunakan sebagai perbelanjaan ketika menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah.
Menurut Pengarah Yayasan Abadi, Datuk Seri Mohamed Rafik Mohd Idris, sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat merealisasikan hasrat daie mualaf berkenaan untuk menunaikan umrah, di samping memupuk kendiri positif dalam membentuk jati diri yang kuat dalam beribadah.
“Semoga mereka mendapat umrah yang mabrur serta merebut peluang melaksanakan sebanyak mungkin ibadah ketika berada di Tanah Suci Mekah nanti,” katanya pada majlis pelepasan “Road to Makkah 2020” Pembangunan Kendiri Pendakwah Mualaf di Grand BlueWave Hotel Shah Alam di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi YMM, Nabila Shila Lama Abdullah; Penasihat YMM, Mohd Gunawan Ab. Che Aziz; Pengurus Yayasan Abadi, Mohd Ihsan Che Min; dan Salman Mohd Ideris dari SN Rizqi Holidays.
Perjalanan jemaah umrah ini diuruskan syarikat SN Rizqi Holidays dan mereka akan mengerjakan ibadah umrah serta ziarah di tempat bersejarah Nabi serta para sahabat selama 12 hari.
Bagaimanapun, penerbangan mereka yang dijadualkan jam 4.40 petang ini ditangguhkan sementara waktu berikutan larangan kerajaan Arab Saudi menerima masuk pelancong dari luar berikutan serangan wabak Covid-19.
Menurut Mohamed Rafik, pihaknya berbesar hati dapat menjadi platform bagi berkongsi rezeki bersama pendakwah mualaf dari YMM dan sekali gus merealisasi impian mereka untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah.
“Pihak kami berhasrat meneruskan lagi inisiatif seperti ini pada masa akan datang, selain merupakan satu peluang untuk kami merancakkan lagi program tanggungjawab sosial korporat dalam perkembangan agama Islam,” katanya.
Yayasan Abadi, penaja utama program ini sebuah yayasan yang ditubuhkan pada Januari 2013 dan bergiat aktif dalam usaha membangun Ummah Cakna dalam mengurangkan jurang kemiskinan rakyat Malaysia melalui program berkala yang drancang.
YMM pula sebuah pertubuhan hasil cetusan idea pengasasnya, Nabila Shila Lama bersama beberapa sahabatnya dengan matlamat membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat mualaf serta memenuhi keperluan mereka dalam semua aspek merangkumi agama, budaya, pendidikan, ekonomi dan sosial. – MalaysiaGazette