Bekas Ahli Parlimen PKR, Datuk Seri Azmin Ali hadir sebelum upacara angkat sumpah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke 8 di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 MAC 2020

KUALA LUMPUR- Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersyukur selepas perjuangan selama seminggu bersama rakan-rakan daripada Perikatan Nasional berjaya membentuk sebuah kerajaan baharu.

Tegas Ahli Parlimen Gombak itu, mereka bertekad untuk membentuk sebuah kerajaan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Perjuangan ini melalui saat-saat getirnya namun akhirnya kita mendapat dukungan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk memilih Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

“Kami bertekad untuk membentuk sebuah kerajaan yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Kami komited terhadap agenda nasional demi memacu kebangkitan ekonomi, menjamin kemakmuran bersama, memelihara keselamatan dan kedaulatan negara, memperkukuh perpaduan rakyat serta menjayakan reformasi institusi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, pagi tadi, Muhyiddin telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang baharu di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Ini juga menandakan kemelut politik yang melanda tanah air sejak Ahad lalu susulan pertemuan di ahli-ahli Parlimen di Sheraton, Petaling Jaya telah pun selesai – sekurang-kurangnya, untuk ketika ini.

Azmin merupakan antara watak penting dalam kemelut politik ini dan telah dipecat keahlian daripada PKR pada awal minggu ini.- MalaysiaGazette