Naib Presiden PKR, Tian Chua di serang oleh sebahagian penyokong sebaik selesai menghadiri mesyuarat tertutup Majlis Pimpinan Tertinggi PKR di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Petaling Jaya. foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Serangan terhadap Naib Presiden PKR, Tian Chia semata-mata kerana perbezaan pandangan dan pendapat mencerminkan bagaimana parti tersebut telah diseludupi budaya gangsterisme dan keganasan.

Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengutuk kejadian itu berkata, Tian Chua merupakan aktivis sosial yang dihormati dan pengasas PKR yang berjasa dalam perjuangan sejak ianya ditubuhkan.

Gejala tersebut, kata Azmin, menjadi bukti bagaimana parti yang didirikan dengan tujuan murni untuk membela nasib rakyat telah di-hijack oleh orang yang bertopeng reformasi dan menjadikan agenda mendewakan diktator sebagai teras perjuangan.

“Pimpinan tertinggi Parti KEADILAN Rakyat hari ini kelihatan alpa terhadap budaya samseng tersebut dan menyimpang jauh dari reformasi membela rakyat.

“Sebuah parti politik yang berlandaskan perjuangan keadilan dan demokrasi seharusnya menggunakan wacana rasional dan perdebatan yang berasaskan kepada fakta,” kata bekas Timbalan Presiden PKR yang dipecat minggu lepas itu.

Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali di kediaman Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 FEBRUARI 2020

Mengulas lanjut, bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menegaskan, apabila sesebuah parti itu telah dirasuk oleh unsur gangsterisme dan pimpinan membiarkannya terus berleluasa, ini bermakna parti tersebut berada di ambang kehancuran.

“Saya menyeru semua pihak untuk menolak budaya gangsterisme dan keganasan dalam politik. Sebaliknya kita perlu berusaha menyuburkan semangat berdebat secara rasional dan berunding untuk menyelesaikan masalah,” katanya.

Insiden di ibu pejabat PKR di Tropicana menyaksikan para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak ganas memukul Tian Chua dan melontarkan kata-kata kesat. Selain Tian Chua, Dr Afif Badruddin juga hampir dipukul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast