Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang media amanat Presiden PAS di Ibu Pejabat PAS Pusat, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 01 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Agenda menyelematkan negara lebih penting berbanding menentukan barisan Kabinet, kata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sehingga kini Abdul Hadi berkata belum ada perbincangan mengenai pengagihan jawatan menteri antara Parti Paribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas.

Namun ujarnya perkara tersebut akan dibincangkan dalam masa terdekat.

“Belum berbangkit. Dalam masa terdekat dibincang,” katanya.

Ditanya pendiriannya sama ada pemimpin UMNO yang terpalit skandal rasuah dan mempunyai kes perbicaraan di mahkamah  patut memegang jawatan menteri atau tidak, katanya, pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini juga ada yang berhadapan dengan tuduhan malah dilepaskan.

“Yang penting kita selamatkan negara daripada kemelut krisis politik terlebih dahulu.

“Kalau (nak cakap) nak dituduh (di mahkamah) pemimpin Pakatan Harapan juga ada yang terpalit, ada yang terlepas begitu sahaja,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat di ibu pejabat parti itu.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi pada 3 September 2017 melepas dan membebaskan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta ahli perniagaan Phang Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

Keputusan itu dibuat berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.

Dalam pada itu Presiden Pas tersebut berharap agar kerajaan persekutuan yang baru ini mengutamakan agenda memulihkan ekonomi, merapatkan jurang orang kaya dengan  miskin, meningkatkan tahap pendidikan dan memastikan pembangunan di Sabah dan Sarawak seimbang selain prinsip Federalisme di antara setiap negeri.

Abdul Hadi dalam pada itu mengesahkan sehingga kini tidak ada pergerakan masuk semula daripada ahli atau pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) untuk kembali semula ke dalam Pas.

Beliau juga menyifatkan kesediaan Pas menerima ahli dan pemimpin Amanah yang sudah insaf seperti mana disuarakan oleh  Mursyidul Am Pas  Hashim Jasin hanya sebagai kenyataan.

“Itu satu kenyataan dan belum wujud (gerakan) lagi sekarang,” katanya.- MalaysiaGazette