Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin sedar bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah.

Berikutan itu, sebagai permulaan, beliau berjanji akan melantik anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang mempunyai ciri-ciri demikian.

Katanya, kerajaan pimpinannya akan memberi keutamaan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik.

Ini termasuk usaha-usaha untuk membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan undang-undang, peraturan dan amalan yang berkaitan, jelas beliau.

“Saya juga faham bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang prihatin dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Saudara memerlukan wang untuk membeli barang keperluan harian, membeli buku dan keperluan sekolah untuk anak-anak, membayar bil air, letrik dan sewa rumah, membayar pinjaman kereta dan kediaman, serta lain-lain keperluan untuk menyara kehidupan sekeluarga,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung oleh rangkaian televisyen RTM malam ini.

Menurut Muhyiddin, beliau juga tahu bahawa antara perkhidmatan yang paling diperlukan oleh rakyat ialah perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan kos yang berpatutan dan ini akan menjadi keutamaannya.

Tambah Perdana Menteri, beliau sedar bahawa rakyat juga mahukan pendidikan yang berkualiti untuk anak-anak mereka dan dengan pengalaman selama enam tahun sebagai Menteri Pendidikan beliau akan berusaha untuk melonjakkan lagi kualiti pendidikan negara.

“Saya akan pastikan anak-anak kita mendapat taraf pendidikan yang setanding dengan negara-negara maju. Usaha ini telah pun saya mulakan dahulu. InsyaAllah ianya akan diperkukuhkan lagi pada masa hadapan.

“Saya tahu bahawa saudara dan saudari mahukan sebuah negara yang stabil, aman dan makmur. Sebuah negara yang menawarkan kehidupan yang lebih baik untuk kita semua,” ujarnya.

Berkiutan itu, jelas Muhyiddin, kerajaan pimpinannya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.

Dalam ucapannya, Muhyiddin menyeru rakyat bersama-sama membina semula negara dan kembalikan kegemilangannya.

“Saya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah. Baik saudara orang Melayu, saudara orang Cina, saudara orang India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, orang asal, atau apa jua kaum dan etnik, saya adalah Perdana Menteri saudara.

“Samada saudara adalah petani, saudara nelayan, saudara peniaga, saudara penjawat awam, saudara pekerja swasta, saya adalah Perdana Menteri saudara,” tambah beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri merayu agar rakyat memberi sokongan padu kepadanya untuk memikul amanah dan tanggungjawab besar ini dengan memberi peluang untuk memanfaatkan 40 tahun pengalamannya dalam politik dan kerajaan untuk mengemudi Malaysia ke arah kegemilangan.

Muhyiddin juga meminta sedikit masa diberikan kepada untuk menetapkan garis-garis utama hala tuju kerajaan dan negara di bawah pentadbiran baharu ini yang akan diumumkan kepada rakyat dalam masa terdekat.

Pada akhir ucapannya, selain mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang telah menghadapi kemelut politik dengan sabar dan tenang, Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohmad yang telah banyak berjasa kepada negara. – MalaysiaGazette