Tian Chua

PUTRAJAYA – Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata beliau tidak bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, tujuan beliau ke Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) adalah untuk bertemu dengan pegawai Dr Mahathir bagi menyerahkan beberapa dokumen kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Jangan membuat sebarang spekulasi, saya datang untuk selesaikan beberapa perkara dan perbincangan.

“Saya tidak mahu bebankan Tun Dr Mahathir. Saya tak jumpa dengan beliau, cuma jumpa pegawai Tun.

“Tiada apa yang perlu diragui, biar Tun buat kerja dia. Saya tidak mahu buang masa beliau,” katanya ketika keluar daripada YKP.

Bagaimanapun, beliau enggan memperincikan isi kandungan dokumen tersebut.

Bekas Ahli Parlimen Batu ini meninggalkan YKP jam 4.35 petang.

Tian Chua memasuki YKP jam 2.25 petang bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

Kedua-dua mereka semalam diserang di Ibu Pejabat PKR, oleh penyokong parti itu. – MalaysiaGazette