SEJAK diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong supaya Tan Sri Muhyddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan, ramai yang tertunggu-tunggu kenyataan rasmi beliau.
Selain rasa syukur dan ucapan terima kasih, tidak banyak yang dikongsikan Presiden Bersatu ini.
Akhirnya menerusi siarkan secara langsung oleh stesen televisyen kerajaan Muhyiddin akhirnya membuka mulut untuk berkongsi harapan dan hala tuju pentadbiran beliau nanti.
Tenang, tertib tetapi masih kedengaran tegas, Perdana Menteri baharu ini berkongsi fokus utama pentadbiran beliau iaitu masalah isi perut rakyat- iaitu tentang keperluan sekolah anak-anak; tentang bil air, letrik, sewa rumah serta sara hidup.
Keluhan dan rintihan rakyat yang selama ini cuma dijadikan modal politik dan dijaja di pentas-pentas kempen tetapi tidak pernah menemui noktah akhirnya dizahirkan dengan iltizam bahawa isu ini seharusnya diatasi segera.
Tidak membentangkan apa-apa statistik atau menyebut sebarang angka dan tidak juga menggunakan jargon, perkataan Bahasa Melayu tinggi mahupun ayat-ayat berpujangga, ahli Parlimen Pagoh itu hanya memetik peribahasa lama Bersatu Teguh, Bercerai Roboh dan Bulat Air Kerana Pembentung, Bulat Manusia Kerana Muafakat—ringkas tetapi mendalam maknanya terutama di sebalik kekalutan politik baru-baru ini.
Boleh dikatakan Muhyiddin berjaya memilih teks ucapan paling tepat untuk disampaikan buat kali pertama sebagai Perdana Menteri Kelapan.
Makcik Ramlah di Benta atau Haji Hamid dari Pengkalan Hulu pastinya memahami setiap butiran ucapan beliau tanpa perlu berkerut dahi ataupun membuka kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dalam pada itu, tidak seperti Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum ini yang sering membawakan dasar baharu sebagai signature masing-masing, Muhyiddin senang untuk meneruskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana yakin perubahan dasar yang mendadak hanya mengelirukan rakyat dan tidak membawa sebarang hasil.
Ucapan bertajuk “Rayuan Kepada Rakyat” ini mungkin kedengaran lemah kerana kenapa seorang pemimpin perlu “merayu”. Bukankah beliau sudah berada di singgahsana di atas awan?
Tetapi Muhyiddin memilih untuk merendah diri kerana beliau sedar, sudah banyak hubungan yang renggang, sudah banyak hati yang terhiris serta sudah terlampau banyak kata-kata hinaan dan cercaan diucapkan sepanjang kemelut politik melanda tanah air ini.
Biarlah beliau memilih cara diplomasi dengan merayu kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama untuk meninggalkan sejarah hitam seminggu yang lalu itu untuk kita sama-sama berganding bahu memajukan negara ini.
Cukup sudahlah ekonomi negara ini dibadai kelembapan global, usahlah ditambah episod duka ini dengan ketidakstabilan politik pula.
Mungkin itu harapan beliau dan sesungguhnya itu juga harapan kami semua rakyat Malaysia.
Buat Tan Sri Muhyiddin, takdir Tuhan membawa anda ke kerusi Perdana Menteri tetapi ingatlah, Dia tidak pernah tidur. Tunaikanlah amanahmu sebaiknya. Semoga dengan kehebatan anda mentabir, anda tidak perlu lagi “merayu” apabila tiba pilihan raya nanti.- MalaysiaGazette