Anthony Loke Siew Fook
Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Gesaan bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke supaya kerajaan memuktamadkan projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura selewat-lewatnya pada akhir bulan April ini disambut baik.

Bagaimanapun, Ketua Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Dr. Tee Ching Seng mempersoalkan, projek itu sepatutnya dimulakan awal lagi dan Anthony tidak sepatut menangguhkannya.

Katanya, sekiranya projek RTS dilaksanakan mengikut pelan asal pada dua tahun lalu, MCA yakin hari ini RTS akan memanfaatkan seramai 200,000 penumpang setiap hari.

Malah, para penduduk Johor juga bakal menerima manfaat daripada kemudahan projek ini dalam masa terdekat, selain dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor.

“Malangnya, kerajaan PH telah mengambil keputusan untuk menangguhkan projek ini beberapa kali, malah sehingga terpaksa membazirkan wang rakyat dengan membayar pampasan kepada kerajaan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chin Seng berkata, kerajaan adalah platform berkhidmat untuk rakyat dan Anthony sepatutnya menyelesaikan tugasnya semasa memegang jawatan, bukannya apabila kehilangan jawatan baru insaf.

“Apa sekalipun, kami mengharapkan bahawa Menteri Pengangkutan yang baharu akan mengambil langkah untuk menghidupkan semula pelaksanaan RTS dan meneruskan persetujuan yang dibuat dengan kerajaan Singapura sepertimana yang dipersetujui semasa zaman Barisan Nasional,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.