WARKAH BUAT PIMPINAN UMNO

Sebelum saya mulakan penulisan kali ini, saya sedar bahawa pandangan saya ini mungkin akan kurang disenangi beberapa pihak. Malah mungkin juga akan mengganggu perjalanan saya sebagai seorang anak muda yang baru nak mengenal dunia politik.

Tapi percayalah, segala yang saya ungkapkan ini adalah ikhlas kerana saya sayangkan UMNO dan perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air.

Alhamdulillah, Tan Sri Muhiyddin Yassin telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-8.

Kini penantian dan tumpuan rakyat beralih ke pembentukan kabinet dan jemaah menteri.

Saya merayu kepada pimpinan UMNO, agar kalian semua berbesar hati dan berlapang dada untuk memberikan laluan jawatan kabinet kepada pimpinan UMNO yang kini tidak menghadapi sebarang pertuduhan dan prosiding di mahkamah.

Ya, saya faham. Mungkin akan ada yang kata “Itu semua fitnah PH, kes yang sengaja diada-adakan.” Jujur saya katakan, saya faham hujah yang dinyatakan. Namun wahai pemimpinku sekalian, sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip Kedaulatan Undang-undang atau “Rule of Law”, saya pohon agar prinsip ini terus dipertahankan walaupun kuasa pentadbiran sudah kembali kepada kita.

Kalau sebelum ini, kita marah dan bengang apabila pelbagai pertuduhan terhadap pemimpin Pakatan Harapan digugurkan tanpa bicara (Kes LTTE, Rasuah Banglo, dll). Jadi, saya merayu pada kalian agar terus menjungjung prinsip tersebut.

Sebagai seorang anak muda yang sayangkan UMNO, saya tidak sanggup lihat dan dengar ada rakyat Malaysia yang kata “Ala, UMNO pun sama sahaja macam PH.”. Tak sanggup ! Saya tak sanggup sekiranya pemimpin-pemimpin saya dilabelkan sebagai munafik, hipokrit dan cakap tak serupa bikin.

Wahai pimpinan UMNO yang sedang menghadapi tuduhan, berehatlah seketika dari jawatan utama kerajaan. Berehat tidak bermakna kalian akan hilang dari radar politik negara. Berehat tidak bermakna kalian akan hilang pengaruh. Berehat tidak bermakna kalian akan hilang kaliber sebagai pemimpin. Tapi yakin dan percayalah, kalian akan lebih dihormati dan dilihat sebagai “Pemimpin Berprinsip”.

Mungkin hasrat saya ini agak sukar untuk diterima oleh kalian, tapi saya tetap merayu agar kalian mampu menjadi insan yang berjiwa  besar dan menerimanya dengan hati terbuka. Fikirkanlah kepentingan secara menyeluruh kepada Parti, Akar Umbi dan yang paling utama, kepada Rakyat Malaysia.

Akhir kalam, saya memanjatkan doa kepada Allah agar kalian sentiasa berada dalam lindungan-Nya dan diberikan kekuatan dan semangat untuk menghadapi cabaran yang mendatang.

Ameen.

Madyasir Ahmad Basir
Anak Muda UMNO

3 Komen

  1. Yg ada terpalit dgn mslh akhlak juga perlu diketepikan agar kabinet benar2 bersih dr sebarang mslh dimasa hadapan..ramai lg yg berwibawa dan berkelayakan utk diangkat menjadi pemimpin terutama dikalangan mp2 PAS & UMNO

  2. Bagi pada yg lebih layak dan berhak. Tu je nk cakap. Benda2 mcam ni semua politicians dlm PERIKATAN x yah beriya2 sangat. Nanti di mainkan lawan Kononnya berebut “harta ghanimah”.

  3. Ramai lagi pemimpin dalam umno yang terpalit isu2 rasuah biarpun belum lagi didakwa. Sesiapa yang berada di dalam kalangannya pasti akan kenal pasti siapakah orangnya.
    Mohon TSMY melantik pemimpin yang tiada isu yang menyebabkan rakyat marah.

Comments are closed.