Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan bergambar kenangan dengan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta dua anaknya Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tunku Muriz (kiri) dan Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz (dua kanan) pada Majlis Perasmian Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz di Port Dickson, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2020.

PORT DICKSON – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melangkah ke hadapan dalam mengimbangi keperluan tenaga negara menerusi pengoperasian stesen janakuasa serba canggihnya di sini dengan menggunakan kepakaran teknologi bertaraf dunia.

Malah, menerusi pendekatan itu, ia menjadikan stesen berkenaan antara stesen janakuasa arang batu yang paling efisien di rantau ini, kata Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie.

“Stesen ini menyumbang kepada kestabilan sistem Grid Nasional.  Dalam kata lain, ia memantapkan lagi keupayaan TNB untuk membekalkan tenaga elektrik yang berterusan dan berdaya harap.  Ini penting demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,” katanya.

Leo berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Stesen Janakuasa Jimah East Power di sini hari ini.

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Moggie berucap pada Majlis Perasmian Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz di Port Dickson, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2020.

Majlis tersebut turut dihadiri Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani  Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam ucapannnya Leo memberitahu, selain teknologi Ultra Super Critical yang menggunakan dandang (boiler), turbin wap dan janakuasa dari Jepun, pembinaan stesen itu turut melibatkan kepakaran teknologi daripada IHI, Toshiba dan Hyundai dalam konsortium Engineering, Procurement & Construction (EPC).

Katanya, projek itu bukan sahaja menambah portfolio penjanaan bahkan ia mengembangkan lagi operasi aset penjanaan bernilai tinggi.

Malah beliau berkata, stesen janakuasa itu adalah stesen ketiga milik TNB yang menggunakan teknologi Ultra Super Critical dimana dua lagi terletak di Manjung 4 dan Manjung 5 yang dipanggil Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah di Lumut, Perak.

Tambahnya, penggunaan teknologi Ultra Super Critical itu menunjukkan bukti komitmen TNB dalam menyumbang ke arah merealisasikan ekonomi karbon rendah, tanpa berkompromi untuk terus membekalkan tenaga elektrik yang stabil ke seluruh Semenanjung.

Katanya lagi, dengan beroperasinya stesen jana elektrik Jimah East Power itu, ia secara tidak langsung akan merancakkan lagi pelaburan di Negeri Sembilan.

Ujarnya, dengan tenaga elektrik yang mencukupi, para pelabur akan tertarik dan lebih yakin untuk mengeluarkan modal bagi menjalankan perniagaan di negeri ini.

“Pembinaan projek ini juga membantu meningkatkan lagi aktiviti ekonomi, dengan mewujudkan pelbagai peluang bisnes kepada syarikat dan kontraktor tempatan.

” Dengan wujudnya pelbagai aktiviti ekonomi, ia turut membuka peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan mencari rezeki,” ujarnya.

Pada majlis sama, Tuanku Muhriz berkenan merasmi dan mengisytiharkan nama baharu Stesen Janakuasa Jimah East Power berkenaan sebagai Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast