MELAKA – Calon untuk Ketua Menteri Melaka yang baharu mengambil kira kesemua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka daripada Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, beliau telah menyampaikan hasrat itu kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob pada pertemuan pagi ini dan pihaknya akan patuh terhadap apa sahaja keputusan yang dibuat Mohd Khalil selepas ini.

“Kami bincangkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik di Melaka. Keputusan muktamad Tuan Yang Terutama (TYT) (Mohd Khalil) dibuat berdasarkan cadangan-cadangan dikemukakan maka sebarang keputusan yang dibuat berdasarkan kuasa yang ada pada beliau akan kami hormati.

“Kita faham bahawa mungkin ada surat telah sampai kepada TYT negeri Melaka untuk menentukan siapakah dicalonkan pihak berkenaan maka kita dalam UMNO BN akan menghormati sebarang keputusan muktamad yang akan dibuat oleh TYT,” katanya pada sidang media di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Pada Isnin lepas (2 Mac) dilaporkan Mohd Khalil telah mendapat representasi bahawa Ketua Menteri Adly Zahari tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka, sehubungan itu Mohd Khalil akan melantik seorang ADUN sebagai Ketua Menteri yang baharu dalam masa terdekat. – BERNAMA