Keputusan kerajaan berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu mengambil kira kebajikan 7,000 pekerja di jajaran rel berkenaan di Terengganu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mendedahkan, apabila berlaku pengecilan skala projek serta pengurangan skop kerja sudah semestinya menyebabkan kos pembinaan menurun berbanding perjanjian asal.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Eden Inc Bhd. mengesahkan telah menerima pampasan bernilai RM16.71 juta daripada kerajaan Malaysia susulan pelupusan tanah milik syarikat tersebut di Kuantan, Pahang bagi tujuan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Eden berkata, tanah perindustrian seluas 6.39 hektar di Mukim Sungai Karang itu telah diambil alih oleh Malaysia Rail Sdn. Bhh (MRLSB) yang dilantik sebagai pemilik aset dan projek ECRL.

MRLSB adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

“Pelupusan wajib tanah tersebut adalah hasil daripada satu notis yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah mengikut Seksyen 18 Akta Pengambilan Tanah 1960,” kata kenyataan tersebut.

Eden menerima pampasan bernilai RM16.71 juta selepas menerima notis penganugerahan pampasan bertarikh 7 Januari 2020 daripada kerajaan.

Menurut Eden, tanah berkenaan dicaj kepada RHB Islamic Bank Bhd. bagi kemudahan pinjaman ijarah yang diberikan kepada syarikat tersebut.

Dengan itu, pampasan tersebut dibayar sepenuhnya kepada bank berkenaan bersama dokumen-dokumen caj yang mana hasil akan digunakan untuk mengurangkan baki pinjaman Ijarah tersebut.- MalaysiaGazette