Presiden MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz Rahman. foto FAREEZ FADZIL, 14 JULAI 2017.
Abdul Aziz Rahman

KUALA LUMPUR – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) sebulat suara dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertingginya (AMT) bersetuju dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, Mubarak juga menyokong penuh ucapan pertama Muhyiddin semalam yang mahu menentukan corak kepimpinan Kabinetnya berlandaskan kepada ketelusan, integriti, amanah dan kaliber.

“Kita menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan baginda membuat pilihan tepat dan muktamad dalam memilih Perdana Menteri.

“Kalau tidak campur tangan baginda, kemelut politik ini akan terus berlarutan, yang menyebabkan negara dan rakyat menanggung kerugian,” katanya pada sidang media Mubarak di sebuah hotel di sini, hari ini.

Abdul Aziz berharap, semua pihak termasuk parti pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) berhenti menuding jari menyalahkan parti lawan, kerana perbuatan sedemikian tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Katanya, yang terkesan dengan krisis politik yang bermula dengan peletakan jawatan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri adalah rakyat dan negara.

“Mereka sepatutnya bermuhasabah, kerana apa kerajaan mereka jatuh. Carilah solusi dan mempersiapkan diri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast