Aktivis, Datin Marina Mahathir bersama aktivis yang lain bercakap kepada media ketika hadir untuk memberi keterangan di IPD Dang Wangi berhubung perhimpunan yang diadakan di hadapan Kompleks Beli-Belah Sogo pada Ahad lalu di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Datin Paduka Marina Mahathir dan Datuk Ambiga Sreenevasan merupakan individu yang pertama daripada kumpulan 15 orang aktivis meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas diambil keterangan selama sejam.

Mereka disoal siasat berikutan perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia’ yang diadakan di hadapan pusat beli-belah Sogo, Ahad lalu.

Kedua-duanya mereka keluar dari ibu pejabat polis berkenaan kira-kira pukul 4 petang.

Marina ketika ditemui media berkata, ia merupakan satu pembaziran masa oleh pihak polis apabila memanggil aktivis untuk dirakam kenyataannya.

“Kecuali kami melakukan sesuatu (perkara yang menyalahi undang-undang), bagaimana mungkin kita tahu,” katanya merujuk kepada krisis politik baru-baru ini dan perhimpunan yang diadakan.

Sementara itu, Ambiga berkata, kebebasan bersuara dan berkumpul secara damai adalah hak untuk rakyat.

“Kami tidak merasa terancam meskipun kenyataan kami direkodkan.

“Adalah tidak masuk akal untuk mengharapkan orang ramai berdiam diri selepas kejadian yang berlaku beberapa hari lalu.

“Ia juga satu kesilapan menyukarkan pihak polis untuk memanggil kami bagi memberi kenyataan.

“Ia adalah hak kita yang termaktub dalam Perlembagaan bagi menyatakan pendapat dan perhimpunan itu juga adalah aman,” jelasnya.

Peguam Ragunath Kesavan yang mewakili kedua-dua mereka berkata, kesemua aktivis yang dipanggil diminta untuk menjawab soalan-soalan biasa, termasuk yang mengambil bahagian dalam penganjuran perhimpunan tersebut.

“Tidak wajar untuk merakamkan kenyataan mereka kerana tidak ada hasutan dan perhimpunan itu dijalankan dengan aman.

“Tidak ada masalah bahaya pun atau keganasan semasa perhimpunan itu berlangsung,” ujarnya. – MalaysiaGazette