Syed Mohammad Faiz Azemmant

KUALA LUMPUR – Rakyat diingatkan supaya menerima hakikat dan menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Menurut Presiden Majlis Pemikir Melayu Muda Kebangsaan (MPMMK), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant, Tuanku Yang di-Pertuan Agong telah memanggil semua Ahli Parlimen termasuk mengadakan persidangan dalam kalangan Raja-raja Melayu sebelum keputusan itu dibuat.

“Kenapa masih ada lagi segelintir pihak dan individu yang terus mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong? Terimalah hakikat, keputusan telahpun dibuat dan ia berlandaskan Perlembagaan.

“Kita sedih ada segelintir individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu. Sebagai rakyat, kita jangan mudah terpengaruh serta beremosi, jangan ikut jejak orang politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan media, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda berpandangan Muhyiddin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Berikutan itu, terdapat segelintir individu yang tidak dapat menerima keputusan berkenaan bertindak memuat naik status di media sosial mempertikai dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Syed Mohammad Faiz berkata, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Beliau berkata, menerusi Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, institusi raja perlu dihormati oleh rakyat kerana ia merupakan lambang dan payung kedaulatan negara.

Namun, katanya, perbuatan memperlekeh dan menghina raja seakan menjadi satu gejala di media sosial.

“Terimalah keputusan Yang di-Pertuan Agong dan beri ruang kepada Perdana Menteri baharu untuk melaksanakan tugasnya.

“Jika mana-mana parti politik merasakan mempunyai cukup majoriti, bawalah usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan pada bulan Mei nanti,” katanya.

Beliau berkata, jangan sekali-kali melanggar undang-undang dengan mengadakan protes atau mengeluarkan kenyataan yang menghina pemimpin khususnya Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast