Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama pelajar pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2019 di Sekolah Kebangsaan Sultan Alam Shah, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 05 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat lawatan mengejut ke Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) di sini bagi menyampaikan ucapan tahniah kepada pelajar yang menerima keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2019 hari ini.

Kemunculan beliau itu merupakan yang pertama melibatkan program bersama orang ramai sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu.

Kehadiran Muhyiddin disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Ghazali Abas, Yang Dipertua SAS, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengetua SAS, Salleh Ismail.

Dalam ucapan ringkasnya kepada ibu bapa dan pelajar, Muhyiddin berjanji kerajaan sentiasa komited untuk membawa pembangunan ke atas sistem pendidikan negara pada masa akan datang.

“Saya komited untuk menentukan supaya sistem pendidikan negara kita akan menjadi satu sistem yang lebih baik, yang boleh melahirkan pelajar-pelajar yang berkemahiran, menguasai bidang pendidikan khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Penguasaan Bahasa Inggeris yang lebih baik, Bahasa Melayu yang lebih baik.

“Oleh sebab itu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan guru-guru yang begitu berdedikasi dan ibu bapa yang komited untuk melihat kejayaan anak-anak. Dan lebih penting anak-anak pelajar sekalian yang bertungkus lumus. Hanya dengan ilmu dapat mencapai kejayaan dalam hidup di dunia dan akhirat,” katanya ketika berucap di hadapan pelajar dan ibu bapa serta guru yang menghadiri pengumuman keputusan SPM 2019 itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast