Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan terdapat 28 kes baharu positif jangkitan Covid-19 (koronavirus) sehingga 12 tengahari tadi.

Ia melibatkan kes ke-56 hingga kes ke-83, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah, hari ini.

“Kes-kes positif ini adalah dalam kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan Covid-19, kontak rapat, dan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Daripada jumlah ini, 65 orang adalah warganegara Malaysia, 15 orang adalah warganegara China dan tiga orang adalah lain-lain warganegara (iaitu Amerika Syarikat, Jepun serta Itali),” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Noor Hisham, sehingga kini sebanyak 956 kontak rapat telah dikenalpasti.

Daripada jumlah ini, sebanyak 258 kontak rapat kepada kluster yang berkaitan dengan kes ke-26 telah dikesan dan diambil sampel.

“Daripada kluster ini, 18 orang telah disahkan positif covid-19, 70 orang adalah negatif namun begitu mereka diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari.

“Manakala seramai 170 orang lagi telah berjaya dikesan dan masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Dalam pada itu sejumlah 23 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad.

Kes ke 24 yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad Hospital Kuala Lumpur. -MalaysiaGazette