PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk melucutkan kelayakan seorang pesuruhjaya kehakiman (JC) daripada mendengar saman dikemukakan kerajaan negeri Sarawak terhadap perbadanan itu berhubung cukai jualan negeri (SST) yang tidak dibayar berjumlah RM1.3 bilion.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Dr Badariah Sahamid memutuskan tiada asas untuk Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin menarik diri daripada mendengar saman itu.

“Pada pandangan kami, permohonan untuk melucutkan kelayakan ini, yang ia secara tidak langsung ada kaitan dengan perdana menteri, jika dibenarkan boleh membawa kepada kesan merumitkan dan menyebabkan lucutnya kelayakan pesuruhjaya kehakiman dalam banyak kes apabila membabitkan perdana menteri, sama ada oleh jawatannya atau kedudukannya dalam Kabinet atau badan statutori atau syarikat berkaitan kerajaan.

“Di mana semua ini akan berakhir? Tidak ada jawapan mudah untuk semua soalan sukar ini dan setiap kes perlu dipertimbangkan berdasarkan meritnya sendiri,” katanya.

Walaupun ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Hakim Badariah berkata perdana menteri, di bawah undang-undang perlu mendukung kebebasan badan kehakiman.

“Kami seterusnya terikat dengan Seksyen 27 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tidak membenarkan perdana menteri meminta nama tambahan selain daripada nama yang telah dicadangkan oleh JAC. Ini merupakan skim perundangan dalam konteks untuk pengesahan sebagai JC dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Tinggi,” katanya.

Hakim Badariah, bagaimanapun, mengetepikan kos RM50,000 yang diberikan Mahkamah Tinggi kepada Pengawal Cukai Jualan Negeri (SST) dan kerajaan negeri Sarawak.

Panel itu yang juga dianggotai Hakim  Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Hakim M. Nantha Balan sebulat suara menolak rayuan Petronas.

Pada 14 Jan tahun ini, Petronas memohon untuk melucutkan kelayakan Chin daripada mendengar saman itu, atas dakwaan JC akan membuat keputusan yang memihak kepada perdana menteri berikutan khidmatnya sebagai JC adalah untuk tempoh percubaan dan tertakluk untuk disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi oleh perdana menteri, yang juga merupakan individu yang mempunyai kuasa penuh terhadap Petronas.

Chin menolak permohonan Petronas untuk melucutkan kelayakannya daripada mendengar saman itu pada 23 Jan tahun ini.

Kerajaan Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan Negeri (SST) memfailkan saman terhadap Petronas untuk mendapatkan SST berjumlah lebih  RM1.3 bilion yang tidak dibayar oleh syarikat minyak dan gas negara itu kepada kerajaan negeri.

Pendengaran saman itu di Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 13 Mac.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili Petronas manakala Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Seri J C Fong mewakili kerajaan negeri dan Pengawal SST. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast