TERKINI : Saya Kesal Tak Dapat Selesaikan Tugas – ADUN Selat Klang

Datuk Abdul Rashid Asari yang ditamatkan tugas sebagai Exco kerajaan negeri Selangor kesal tidak sempat menghabiskan tugasan apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diwakilinya kini menjadi blok pembangkang di negeri itu.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor itu berkata, antara yang tidak sempat dilakukannya adalah Pelan Tindakan Bersepadu Pelancongan Negeri bagi menangani Covid-19 terhadap industri pelancongan negeri.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan akan memastikan tiada peruntukan daripada kerajaan Persekutuan yang akan ditarik balik dan terjejas meskipun kerajaan pusat kini dikuasai Perikatan Nasional.

“Saya rasa sedikit kesal dengan keadaan ini kerana tidak sempat laksanakan beberapa program yang telah saya cadangkan,” katanya ketika sidang media tergempar di pejabatnya hari ini.