Rakaman pergaduhan dua wanita di sebuah pasar raya menjadi tular di media sosial. foto Agensi

SYDNEY – Dua wanita ditahan selepas terlibat dalam pergaduhan berhubung tisu tandas di sebuah pasar raya.

Polis New South Wales berkata, mahkamah telah mengeluarkan notis kehadiran dua wanita berkenaan yang masing-masing berusia 23 dan 60 tahun susulan insiden pergaduhan itu.

Mereka dikehendaki hadir di mahkamah pada 28 April ini.

Polis telah dipanggil ke pasar raya di barat laut Sydney selepas berlaku pergaduhan antara tiga wanita berpunca daripada tisu tandas.

Video mengenai insiden itu tular di media sosial menunjukkan wanita berteriak dan bergaduh di atas troli membeli-belah yang penuh dengan kertas tandas, memaksa kakitangan pasar raya campur tangan.

Seorang wanita menjerit, “Saya hanya mahu satu paket”.

Manakala seorang lagi yang menolak troli yang berisi kertas tandas itu menjawab, “tidak, bukan satu paket,” sebelum kakitangan lantai campur tangan.

Wanita itu, yang didakwa diserang, tidak mengalami kecederaan dan tidak ditangkap.

Tisu tandas menjadi sasaran stok isi rumah selepas kerajaan mengehadkan satu bungkus untuk setiap orang telah mendorong kepada belian panik.

Penduduk Australia bimbang penularan wabak koronavirus menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan.

Kes positif koronavirus di negara ini mencecah 70 kes. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.