Ahli Pertubuhan kebajikan Sahabar 565 memegang gambar ahli Patriot yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan parti DAP selepas membuat laporan polis berhubung kenyataan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang tidak menghormari Yang di-Pertuan Agong di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Tiga badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) kerana mengeluarkan kenyataan berbaur pengkhianatan terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Menurut Presiden Pertubuhan Sahabat 565, Mohd Ismawi Ismail, tindakan mempertikaikan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 merupakan satu penderhakaan kerana menyanggah kuasa baginda yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Kenyataan Patriot adalah sungguh biadap dan jelas menderhaka kepada YDPA sebagai ketua tertinggi negara yang telah berkenan melalui Majlis Raja-Raja melantik Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar pekarangan Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya, hari ini.

Terdahulu, Mohd Ismawi bersama Pengasas NGO Gabung dan Pengerusi Semangat Gelombang Rakyat, Ellie Suriaty Omar membuat laporan polis terhadap Presiden Patriot, Brigadier Jen (bersara) Datuk Mohamed Arshad Raji.

Jumaat lalu, Mohamed Arshad dalam kenyataan mendakwa penubuhan kerajaan baharu dan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 tidak melalui proses demokrasi.

Mohd Ismawi Ismail bersama Ellie Suriati serta yang lain memegang gambar ahli Patriot yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan parti DAP dan laporan polis berhubung kenyataan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang tidak menghormari Yang di-Pertuan Agong di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2020.

Sehubungan itu, Mohamed Arshad menggesa supaya nama dan bilangan Ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada calon Muhyiddin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad didedahkan.

Dalam pada itu, Mohd Ismawi juga khuatir kenyataan itu boleh merosakkan imej bekas anggota tentera yang telah bersumpah untuk taat setia kepada YDPA dan Raja-raja Melayu.

“Ia boleh memberi kesan buruk dan pandangan tidak baik terhadap YDPA dan institusi Raja-Raja Melayu khasnya kepada seluruh rakyat Malaysia,” tegasnya.

Katanya lagi, sebagai sebuah pertubuhan, Patriot tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan tersebut apatah lagi mempertikaikan kuasa YDPA.

“Kami memohon pihak berkuasa dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap pertubuhan itu kerana gagal menghormati Perlembagaan negara,” katanya lagi.

Sementara itu, Ellie Suriaty menegaskan, tiada istilah kerajaan pintu belakang bahkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Di sinilah kita lihat peranan YDPA dan Raja-raja Melayu selaku pemimpin tertinggi di dalam negara kita.

“Tindakan Patriot amat memalukan kerana mengeluarkan kenyataan bahawa lantikan YDPA tidak demokratik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.