Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak membenarkan kapal persiaran berlabuh di pelabuhan negara ini berkuat kuasa serta-merta susulan wabak Covid-19 sehingga situasi bertambah baik dan penularan jangkitan virus itu dapat dikawal, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, memandangkan kemunculan gelombang kedua kes Covid-19 di Malaysia baru-baru ini dan seluruh dunia, pelbagai langkah telah diambil pihak berkuasa Malaysia bagi menyekat penularan dalam negara dan melindungi kesihatan awam.

Dr Noor Hisham berkata, kemasukan serta persinggahan kapal persiaran, penumpang dan anak kapal memerlukan penyediaan sumber perubatan yang banyak di pelabuhan bagi tujuan saringan dan rawatan.

“Dalam tempoh yang sukar ini, adalah penting lebih banyak sumber perubatan bertumpu kepada hospital-hospital yang berdepan kecemasan perubatan dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan.

“Oleh itu, Kementerian Kesihatan bersama kementerian serta agensi yang lain telah mengambil keputusan tidak membenarkan kemasukan kapal persiaran ke pelabuhan Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau bagaimanapun mengakui industri kapal persiaran adalah komponen penting dalam sektor pelancongan Malaysia dan telah menyumbang dengan ketara kepada ekonomi negara.

“Kita berharap ini hanyalah langkah sementara dan yakin bahawa usaha bersepadu semua pihak akan membantu menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast