Hassan Marican

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) mengumumkan peletakan jawatan Tan Sri Mohd. Hassan Marican sebagai ahli Lembaga Pengarah syarikat berkuatkuasa 6 Mac lalu.

Sayap pelaburan kerajaan itu bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci sebab tokoh korporat ternama itu meninggalkan Khazanah.

“Peletakan jawatan Mohd Hassan adalah bagi menumpukan perhatian kepada pembabitan lain.

“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohd Hassan atas komitmen dan sumbangan beliau kepada Khazanah sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah dan kami mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Petronas itu dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah pada Julai 2018 serentak dengan pelantikan bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Sukhdave Singh dan Pengarah Maybank Asset Management Group Bhd, Goh Ching Yin.-MalaysiaGazette