KUALA LUMPUR – Kabinet integriti dan seimbang.
Itu reaksi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung pengumuman barisan Jemaah Menteri yang baharu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang ini.
Sambil menyambut baik dengan pengumuman itu, beliau berkata, Pas akan mendukung sepenuhnya kepimpinan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang baharu ini, demi membawa kebaikan kepada negara dan rakyat.
Katanya, pembentukan kabinet itu dilakukan secara berhemat dengan mengambil kira aspek integriti dan kelayakan serta keseimbangan antara wilayah dan masyarakat majmuk untuk memastikan mutu perkhidmatan yang baik oleh kerajaan.
“Kita turut berterima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri kepada kami dan akan berusaha untuk menunaikan kewajipan ini dengan pertolongan Allah serta mengharapkan kerjasama daripada penjawat awam dan rakyat keseluruhannya.
“Pas berikrar akan melaksanakan tanggungjawab ini sebaiknya dan bersedia menerima pandangan positif daripada semua pihak, khususnya kalangan ahli akademik, profesional dan tokoh masyarakat yang berkebolehan untuk membantu membangunkan negara tercinta ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin atas pengumuman Kabinet kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Katanya, Kabinet yang dianggotai rencaman tokoh yang melampaui batasan kaum dan latar kerjaya itu dilihat mampu melonjakkan kemajuan serta memelihara kemakmuran negara demi kesejahteraan rakyat jelata.
“Saya turut ucapkan terima kasih atas pelantikan enam anggota Parlimen dari Pahang, iaitu dua menteri termasuk Menteri Kanan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah,” katanya.
Empat lagi dari Pahang ialah Timbalan Menteri Kewangan II, Shahar Abdullah; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohd Said; Timbalan Menteri Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib.
“Dengan pembentukan Kabinet ini diharapkan negara dapat segera ditadbir dan digerakkan semula ke arah mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sepertimana yang telah dirangkakan,” katanya. – MalaysiaGazette