Simon Ee Yoong Sin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) bercadang menjalinkan kerjasama dengan semua kedutaan asing bagi menjelaskan Program Kebajikan dan Khidmat Imigran (PKKI) yang dilaksanakan NGO itu.

Menurut Pengarah (Pengurusan) Peka, Kapten Simon Ee Yoong Pin, daripada semakan pihaknya, terdapat 81 kedutaan asing yang berkhidmat secara rasmi di negara ini.

Kerjasama itu, katanya, bagi membolehkan NGO berkenaan memberikan penjelasan kepada kedutaan asing berhubung konsep program yang telah dilaksanakannya sejak dua tahun lalu.

“Kita komited untuk membantu masyarakat antarabangsa yang berada di negara ini dalam aspek kebajikan dan perlindungan sosial mereka.

“Untuk itu, Peka akan berjumpa dengan kedutaan berkenaan dalam masa terdekat bagi mewujudkan jalinan kerjasama serta memberikan taklimat mengenai pengenalan program ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Jelas Ee Yoong Pin, menerusi pertemuan itu nanti, Peka turut akan berkongsi Skim Perlindungan Sosial yang memberi perlindungan kepada pekerja, pelajar dan pelancong asing.

Skim itu, kata beliau, menawarkan perkhidmatan, kemudahan dan bantuan untuk manfaat mereka dengan kadar yuran rendah.

“Skim ini menyediakan faedah tunai kepada warga asing dan tanggungannya apabila berlaku kejadian luar jangka sepanjang bekerja, belajar atau berada di negara ini.

“Lebih penting mereka dilindungi 24 jam insurans kemalangan dan kematian, khidmat pengurusan jenazah termasuk urusan pengebumian serta penghantaran pulang ke negara asal,” katanya.

Selain itu, kata Ee Yoong Pin, skim berkenaan turut menyediakan khidmat guaman dan khidmat pengurusan dokumentasi bagi mengelakkan mereka ditipu sindiket dan talian bantuan 24 jam.

Mereka juga, ujarnya, akan diberikan kad perkhidmatan mengandungi maklumat diri untuk rujukan yang mempunyai fungsi sistem Touch n Go untuk kemudahan sampingan berbelanja.

“Sejak dilaksanakan Julai 2018, lebih 100,000 warga asing menyertai program berkenaan dan kita menyasarkan 1 juta bakal menyertainya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast