PUTRAJAYA – Penyokong-penyokong Ahli Parlimen Perikatan Nasional diminta agar berlapang dada sekiranya wakil rakyat mereka tidak terpilih di dalam barisan Kabinet baharu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka perlu menerima keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berhubung perkara itu.
Katanya, Perdana Menteri membuat keputusan berkenaan ekoran tempat yang perlu diisi untuk jawatan sebagai menteri penuh atau timbalan menteri adalah terhad.
“Alhamdulillah YAB Perdana Menteri telah berpesan kepada ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional kerana tempat untuk Kabinet sama ada menteri penuh atau timbalan menteri adalah terlalu terhad.
“Jadi mana-mana yang belum bernasib baik tentunya harus berlapang dada dan Ini merupakan satu pendekatan yang baik dan belum pernah dilakukan oleh mana-mana perdana menteri sebelum ini yang memanggil semua ahli Parlimen kerajaan.
” Kita harap penyokong-penyokong dibawah walaupun kita mendoakan dan mengharapkan ahli-ahli Parlimen menjadi menteri ataupun timbalan menteri harus berlapang dada dan berhati terbuka untuk menerima keputusan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita diluar pekarangan Sri Perdana di sini, sebentar tadi.
Ahmad Zahid berkata, pertemuan yang diadakan oleh semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berlangsung dalam situasi yang baik dan lancar.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menegaskan, beliau tidak berhasrat untuk menarik atau mengubah keputusannya untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam Kabinet.
“Saya memuktamadkan pendirian saya dan saya tidak berhasrat untuk menarik atau mengubah keputusan saya kerana keputusan saya itu adalah muktamad,” ujarnya.
Muhyiddin hari ini mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen PN dan Gabungan GPS di Sri Perdana.
Pertemuan yang diadakan kira-kira satu setengah jam itu adalah membincangkan agenda pembentukan Kabinet baharu serta perjawatan menteri dan timbalan menteri. – MalaysiaGazette