Datuk Seri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebagai presiden parti beliau akan memantau kerajaan dan ahli-ahli Parlimen Pas yang dilantik ke jawatan menteri serta timbalan menteri.

Katanya, ketiadaannya dalam barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin membolehkan parti memantau kerajaan secara lebih berkesan.

“Ini perlu difahami oleh ahli-ahi Pas khususnya dan mereka yang hendak mempelajari konsep politik Islam yang kita perkenalkan.

 “Mudah-mudahan, ia menjadi satu model yang amat baik dan kita mengharapkan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berjaya. Kita mendukung sepenuhnya kepimpinan beliau sementara waktu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita juga berharap rakyat akan dapat beri sokongan padu dan bersama-sama sama berdoa kejayaan kerajaan yang kita bentuk ini,” katanya dalam perutusan khasnya di Facebook rasminya, malam tadi.

Ahli Parlimen Marang itu turut melahirkan kesyukuran kerana akhirnya Kabinet Perpaduan Umat terdiri daripada parti-parti politik yang terlibat dalam perubahan kerajaan kini terbentuk.

Katanya, bukan sahaja jumlah wakil rakyat yang dipilih rakyat termasuklah jumlah parti-parti politik yang berbagai.

“Ini satu perubahan yang perlu dilihat secara demokratik dan Pas menghantarkan nama-nama untuk menjadi menteri, timbalan menteri (untuk) terlibat di dalan Kabinet berkonsepkan parti memerintah kerajaan.

“Kita menghantar wakil-wakil, menteri-menteri, timbalan menteri yang melaksanakan peranan eksekutif untuk mengurus dan mentadbir, membuktikan kemampuan PAS dalam mentadbir dan mengurus dalam keadaan parti perlu memantau,” katanya. – MalaysiaGazette