Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan menteri bercakap semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama kerajaan baharu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Bagi memulihkan semula keyakinan pelabur asing dan rakyat, kerajaan akan mengumumkan hala tuju pentadbiran serta langkah yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi bagi memberi manfaat segera kepada golongan sasar.

Menggelarkannya sebagai Tawaran Baharu Kepada Rakyat, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyedari kerajaan pimpinannya adalah berbeza berbanding kerajaan-kerajaan terdahulu kerana tidak dibentuk menerusi pilihan raya umum.

Hala tuju kerajaan baharu itu akan mengandungi agenda-agenda yang perlu diberi fokus dalam masa segera, dalam tempoh setahun serta sehingga tamat penggal.

“Saya faham isu ini yang mana kita tidak mempunyai manifesto seperti biasa kerana kita terbentuk dalam keadaan luar biasa.

“Maka saya telah minta setiap kementerian mengemukakan cadangan-cadangan tentang langkah dan inisiatif yang boleh kita laksanakan untuk memberi manfaat segera kepada kumpulan-kumpulan sasar.

“Kerajaan yang kita bentuk ini adalah untuk semua rakyat Malaysia dan tidak hanya memberi keutamaan kepada kumpulan-kumpulan tertentu sahaja.

“Kita akan berlaku adil kepada semua masyarakat dan saya telah katakan (kepada ahli Kabinet) kita di sini adalah untuk menghambakan diri kepada rakyat.

“Anggap kita hamba kepada rakyat,” katanya.

Muhyiddin juga memberitahu, beliau akan segera memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Maximus Ongkili bagi membincangkan isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya akan panggil bermesyuarat untuk berbincang mengenai MA63 serta pindaan-pindaan perlembagaan yang diperlukan untuk memenuhi hajat orang di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, berhubung penolakan jawatan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Tiong King Sing, Muhyiddin berkata, kerajaan menerima keputusan tersebut.

“Itu adalah keputusan beliau.

“Yang di-Pertuan Agong telah berkenan dengan pelantikan berkenaan tetapi beliau merasakan tidak sesuai dengan jawatan tersebut, maka kami terima.

“Kami akan cari pengganti.

“Saya akan bertemu dengan beliau esok bagi membincangkan perkara ini.

“Beliau memberitahu masih berminat untuk berkhidmat kepada negara tetapi di atas kapasiti lain,” ujarnya.

Semalam King Sing yang tersenarai dalam barisan Kabinet baharu yang diumumkan Muhyiddin tidak hadir pada majlis angkat sumpah di Istana Melawati.

Beliau, katanya, menolak jawatan tersebut kerana tidak memberi manfaat kepada kedudukannya sebagai Presiden Parti Demokrasi Progresif dan Ahli Parlimen selama lima penggal. – MalaysiaGazette