Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama sebahagian daripada barisan menterinya.

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

Ahad lalu saya menulis di laman Facebook, mengenai kesukaran untuk melantik Timbalan Perdana Menteri. Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tiada Timbalan Perdana Menteri. Apa yang ada hanya Menteri Kanan yang dilihat mewakili empat kelompok iaitu, Bersatu, UMNO, GPS dan Bebas – bekas PKR.

Perdana Menteri telah mengambil satu langkah satu yang bijak.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili UMNO; Dr. Radzi Jidin (Bersatu); Datuk Seri Fadilah Yusof (GPS) dan Datuk Seri Azmin Ali (Bebas – bekas PKR). Biarpun semua menteri kanan adalah sama pangkat tetapi Azmin dilihat mempunyai sedikit kelebihan apabila diberikan amanah untuk mempengerusikan Kabinet ketika Muhyiddin tiada.

Pada pendapat saya barisan Kabinet adalah seimbang dan baik. Bunyi-bunyi pahat di satu dua tempat, itu biasa. Dan pahat harus berbunyi sebagai tanda ingatan jika tidak Perikatan Nasional akan menjadi kerajaan paling singkat dalam sejarah. Tiga bulan akan tumbang.

Di sini kebijaksanaan Perdana Menteri akan teruji bagaimana untuk terus mendamaikan parti-parti yang bersatu menjadi Perikatan Nasional (PN) dan menyerap serangan bertali arus daripada Pakatan Harapan (PH).

Mahu atau tidak kestabilan dalaman parti pemerintah yang paling utama. Benar, kita memerlukan kerajaan yang bersih tetapi bersih bukan hanya bermaksud rasuah atau penyelewengan. Bersih yang harus juga bersinonim dengan ras budaya dan agama.

Ini kerana cabaran di hadapan lebih tinggi daripada Everest. Bermacam-macam masalah yang harus diselesaikan. Paling utama ialah ekonomi yang merudum teruk ditambah dengan wabak Covid-19.

Bagi UMNO, Pas dan GPS mereka akan diuji lebih dahsyat kerana sebelum ini kuat mengkritik rejim PH. Rakyat memerhati bagaimana mereka cuba untuk mendapatkan kembali harta-harta yang telah dilelong. Jika gagal mereka pasti dihukum. Rakyat sudah tidak takut lagi untuk menukar kerajaan.

Lihat sahaja sepanjang dua minggu krisis berlaku. Rakyat seolah-olah tidak ambil pusing langsung. Mereka senyap tetapi kesimpulan sudah dibuat.

Dalam fasa ini, komunikasi amat penting. Menteri dan pemimpin parti harus pandai menjaga lidah serta jari. Lidah jangan terlajak cakap. Jari jangan terlebih tekan. Terlampau mengungkit kesilapan yang dibuat oleh rejim PH akan membuatkan rakyat bosan.

Lihat bagaimana dinding-dinding facebook pemimpin PH diserang bertubi-tubi. Beribu dan kadang kala berpuluh ribu komen, ejekan, cercaan dan kata-kata sinis ditulis oleh tentera bawang. Golongan ini bukan diupah tetapi tumbuh secara semulajadi hasil menifestasi diri.

Menteri dan pemimpin parti tidak boleh ‘bijak sendiri’ dalam hal komunikasi. Rakyat sudah bijak. Mr. Google ada semua jawapan. Jika perlu rujuk kepada pakar dan gunakan khidmat pengamal komunikasi dan media yang benar-benar berpengetahuan dan berpengalaman.

Dalam masa yang sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifudin Abdullah harus berperanan dengan baik. Menyampaikan perkara yang benar dan menangkis maklumat yang salah dengan pantas. Jentera kerajaan harus lebih cekap menguasai media sosial. Kenali segmen-segmen media sosial supaya mudah mesej diserap. Tentera bawang adalah fenomena yang sukar untuk disekat.

Kerajaan juga harus berhati-hati dengan penghasut seperti Red Bean Army (RBA). Banteras mereka sehingga ke akar umbi. Jika perlu gunakan akta untuk dibawa ke pengadilan namun harus berhati-hati dan jangan sampai pendakwaan terpilih.

Media-media arus perdana atau tradisional perlu diperkasakan bukan dipaksa untuk menyokong pemerintah secara semberono. Laporkan dengan bebas. Benar kata benar. Salah kata salah walaupun kebenaran untuk menyakitkan. Tidak perlu disembunyikan di bawah permaidani. Laporan berat sebelah yang keterlaluan akan menyebabkan rakyat bertambah meluat dengan kerajaan.

Menurut kajian, rakyat di negara ini menggunakan media tradisional dan media baru untuk mendapatkan liputan berita secara komprehensif sebelum membuat kesimpulan kepada keadaan semasa. Justeru, liputan media tradisional amat penting kerana kredibiliti dan etika kewartawanan yang dipegang cuma kecondongan yang melampau membuatkan rakyat berfikir tiga empat kali.

Dunia hari ini masih berpegang kepada teknik propaganda Hitler dan orang kanannya, Joseph Goebbels yang mengubah sedikit ‘kebenaran’. Namun cepat atau lambat siapa sahaja yang mencapai kuasa dengan cara ini tidak akan lama bertahan.

Kata seorang ahli falsafah, Marshall McLuhan; “Politik berjaya kerana propaganda. Ia bukan semata-mata mesej atau ideologi namun kesan ke atas teknologi yang merentas zaman.”

— Penulis ialah bekas Presiden Kelab Wartawan Kelantan (KEMUDI) dan bekas Ketua Biro Utusan Malaysia Kelantan.

 

 

 

1 Komen

  1. Eloklah agar tiada siapa atau mana2 parti yg akan merebut jawatan TPM, keempat-empat wakil parti atau menteri kanan itu boleh terus berebut jawatan PERDANA MENTERI itu nanti,jikalau empat org tu masih gagal merebut jawatan PM, salah satu daripada wakil parti itu boleh keluar dari perikatan nasional utk bergabung dgn PH utk jatuhkan PN dan begitulah seterusnya.

Comments are closed.