Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjalan keluar selepas sidang media khas pengumuman pelantikan barisan jemaah menteri baharu kerajaan di Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2020.

PETALING JAYA – Pengagihan jawatan Kabinet yang tidak seimbang khusunya UMNO yang mempunyai wakil rakyat terbanyak, tetapi dengan jawatan kurang berbanding Bersatu akan membawa keadaan saling mensabotaj dalam pilihan raya.

Penganalisis politik, Dr. Wong Chin Huat berkata, masalah utama dalam barisan Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pengagihan kuasa.

Katanya, daripada 32 jawatan menteri yang ada, Bersatu mendapat 11 jawatan menteri berbanding sembilan untuk UMNO.

Sementara itu, untuk 38 jawatan timbalan menteri pula, Bersatu mendapat 15 sementara UMNO memperoleh lapan.

“Hakikatnya, jumlah kerusi UMNO di Dewan Rakyat mencecah 39 kerusi iaitu lebih banyak berbanding Kem Muhyiddin (Bersatu dan belasan orang penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali),” kata Chin Huat kepada Nanyang Siang Pau.

Walaupun terdapat enam wakil rakyat UMNO yang “terkandas” kerana kes mahkamah, Bersatu masih dilihat “mengambil untung” malahan keadaannya lebih jelas berbanding zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang “menekan” PKR.

“Berapa lama UMNO mampu bersabar? Sukar untuk membayangkan bahawa UMNO sanggup ditunggang oleh Bersatu.

“Walaupun jika kedua-dua parti berjaya mengelakkan pertembungan terus dalam pilihan raya akan datang, mereka tetap sukar mengelakkan sabotaj antara satu sama lain,” kata Chin Huat.

Sementara itu, beliau berpendapat bahawa keputusan Muhyiddin tidak melantik Timbalan Perdana Menteri sebagai bijak kerana ia dapat mengelakkan perebutan jawatan nombor dua.

Walau bagaimanapun, katanya, masalah perebutan tidak akan pergi begitu sahaja.

Mengenai menteri kanan pula, Chin Huat berkata, jawatan itu hanya indah khabar dari nama jika menteri berkenaan tidak diberi kuasa untuk mentadbir kementerian lain. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. kalau ingin kedamaian jangan ada dengki dan dendam. tiap kali mesyuarat basuh lah minda ahli majlis dengan sabun ketaatan. bersihkan dengki dan buruk sangka sesama sendiri dan ikhlaskan dalam perjuangan

  2. Realitinya begitu. Ini kabinet TSMY. Nak amik hati penyokongnya. Perikatan rapuh. Kuasa mmg penting. Bila kuasa diserahkan kpd geng2 mcm geng Azmin, apa nak diharapkan? Tunggu PRU jerlah… Jangka panjang, bubar lebih baik, sementara rakyat masih benci dgn PANDAP dan PKR… Jgn sampai MN tarik balik sokongan kpd geng PPBM… Baru naya…

    Geng opportunis. Musuh menolak, kawan pun x percaya…

Comments are closed.