Tan Sri Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan sehingga keputusan rasmi dari hospital sama ada peguam bela, Tan Sri Shafee Abdullah dan isterinya, Tania Scivetti positif Covid-19 atau sebaliknya petang ini.

Shafee dan Tania merupakan antara peguam yang ketika ini mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes melibatkan penyewelengan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion yang sepatutnya masuk hari ke-23 hari ini.

Pasangan suami isteri itu disyaki terdedah kepada wabak Covid-19 selepas dikatakan mempunyai kontak rapat dengan adik iparnya semasa kenduri di rumah mereka Sabtu lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah kemudian mengeluarkan arahan sekiranya keputusan itu negatif maka kes perbicaraan yang dihadapi oleh Najib akan bersambung pada Khamis hadapan.

Peguam Shafee, Noor Farhah Mustaffa sebentar tadi memberitahu Collin bahawa keputusan ujian yang dijalani di Hospital KPJ Damansara akan diketahui hari ini atau pagi esok sahaja.

“Jika demikian, anda maklumkan kepada saya pada Isnin ini. Tidak perlu hadir mahkamah, maklumkan kepada saya dengan surat.

“Seandainya negatif maka perbicaraan ini akan terus bersambung pada Khamis depan sebelah pagi. Hari ini dan semalam juga kita akan gantikan,” kata beliau.

Selain daripada Shafee dan Tania, seluruh pasukan bela Najib juga telah diarahkan untuk menjalini ujian Covid-19 pada masa ini.

Adik ipar Shafee juga dikatakan mempunyai kontak rapat dengan Setiausaha Sirim Bhd yang baru-baru ini disahkan dijangkiti virus itu.

Bagaimanapun Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tetap hadir mahkamah dengan wajah tenang malah tidak pula mengenakan apa-apa ‘face mask’ sebaliknya sempat tersenyum dengan penyokong serta media sebelum masuk ke bilik perbicaraan sekitar 8.50 pagi.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi sebutan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 MAC 2020

Semalam sepatutnya perbicaraan bermula sekitar 2.30 petang terpaksa ditangguhkan ke pagi ini kerana mahkamah diberitahu keseluruhan pasukan bela diketuai oleh Shafee telah mengkuarantin diri selama 14 hari kerana wabak itu berjangkit.

Collin kemudian membuat keputusan supaya pihak pembelaan mengemukakan surat rasmi berkaitan kuarantin Covid-19 itu yang kemudian diberikan kepadanya sebentar tadi.

Najib ketika ini menghadapi pertuduhan penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion selain 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama dana 1MDB.

Perbicaraan 1MDB telah ditangguhkan pada 13 November tahun lalu tahun kerana kedua-dua peguam , Shafee Abdullah dan saksi pendakwaan ke-9, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sakit. –MalaysiaGazette