Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memutuskan agar semua perhimpunan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April 2020.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia membabitkan mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan.

“Keputusan ini akan diteliti semula sekiranya situasi COVID-19
bertambah baik,” katanya dalam perutusan berkaitan penularan jangkitan Covid-19 yang disiarkan secara langsung di rangkaian televisyen.

Menurut beliau, semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri  telah mengeluarkan garis panduan bagi perhimpunan ibadat di masjid untuk mengelakkan penularan COVID-19.

Oleh itu, beliau berharap pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri turut mengeluarkan garis panduan yang serupa dengan mengambil kira nasihat dan arahan daripada pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Muhyiddin, acara keagamaan bagi agama-agama lain yang melibatkan perhimpunan berskala besar juga mestilah mengambil kira nasihat dan arahan daripada KKM dari masa ke semasa.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sebagai persediaan menghadapi situasi yang lebih serius, kerajaan akan terus mempertingkatkan pelaksanaan saringan di pintu masuk antarabangsa, menjalankan sekatan perjalanan dari negara terlibat dan menyediakan laluan khas untuk pelawat dari negara-negara terrsebut.

Kerajaan juga, katanya, akan meningkatkan bilangan hospital yang boleh merawat kes-kes COVID-19.

Sehingga kini, sjelas beliau, ebanyak 26 buah hospital kerajaan dan sebuah hospital universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kes-kes COVID-19.

“Selain itu, kolaborasi dengan hospital swasta, hospital di bawah
Kementerian Pertahanan Malaysia dan hospital universiti telah dimulakan sebagai persediaan untuk menerima pertambahan kemasukan pesakit kes-kes COVID-19,” ujar beliau.

Di samping itu, katanya, terdapat 57 hospital kerajaan dan 170
klinik kesihatan di seluruh negara yang bersedia untuk melaksanakan saringan kesihatan ke atas mereka yang bergejala penyakit COVID-19.

Tambahnya, kerajaan juga telah mengenalpasti Hospital Sungai Buloh dan sebuah hospital di setiap negeri sebagai hospital khusus untuk merawat kes-kes COVID-19. – MalaysiaGazette