Reaksi Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika hadir pada Persidangan Antarabangsa Palestin "Sokongan Asia Tenggara terhadap hak Rakyat Palestin" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) perlu ‘berfikir dua kali’ sebelum memberikan semula wang diperoleh daripada siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memandangkan parti yang dikaitkan dengan kes rasuah itu sudah kembali berkuasa, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir, 94, yang tiba-tiba meletak jawatan pada bulan lepas kini digantikan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mana gabungan kerajaan baru membabitkan UMNO.

Jabatan Kehakiman AS (DoJ) berkata, lebih daripada AS$4.5 bilion telah dicuri daripada 1MDB di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, yang kini sedang dibicarakan.

DoJ telah memperoleh kira-kira AS$ 1 bilion daripada hasil penyitaan dan penjualan aset yang didakwa dibeli dengan dana 1MDB dan sudah mengembalikan hampir AS$200 juta kepada Malaysia pada bulan Mei tahun lalu.

Namun pemindahan kedua bernilai kira-kira AS$240 juta masih ditangguhkan pada bulan lalu di tengah-tengah ketidakpastian berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir, kata sumber.

Mahathir memberitahu Reuters, DoJ perlu mempertimbangkan semula keputusannya untuk menghantar wang itu kepada Malaysia selepas UMNO kembali berada dalam kerajaan.

“Apabila kami (Pakatan Harapan) mengambil alih, DoJ sanggup memberikannya kepada kami kerana kami menggulingkan orang yang mencuri duit itu. Sekarang, orang-orang yang mencuri duit itu akan mendapatkan semula wang yang mereka curi. Saya fikir DoJ perlu berfikir dua kali,” kata Dr Mahathir.

Sekurang-kurangnya enam negara terlibat dalam siasatan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB. – MalaysiaGazette